Content feed Comments Feed

PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN

Monday, July 11, 2011




1. PERTUKARAN ARAH QIBLAT
2. PERANG BANI MUSTALIQ
3. PEPERANGAN ZAT AL-RIQA'


1.       PERTUKARAN ARAH QIBLAT

Menjelangnya Rejab dan Shaaban, umat Islam selalunya lazim memperkatakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad SAW. Namun, terdapat suatu lagi peristiwa yang besar dan penting kepada kita semua di mana riwayat Sahih al-Bukhari secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa ia berlaku sama ada pada pertengahan bulan Rejab atau pun Syaaban, kira-kira 16 atau 17 bulan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW; sejurus sebelum berlakunya Peperangan Badar al-Kubra pada tahun kedua Hijrah itu. Peristiwa yang dimaksudkan itu adalah perpindahan Qiblat daripada Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada al-Barraa’, beliau berkata:

“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda SAW amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah.

Ketika di Makkah, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW bersolat di bahagian selatan Kaabah supaya Baginda SAW mengadap Baitul Maqdis sebagai perintah Allah, dan dalam masa yang sama Baginda SAW mengadap Kaabah, Qiblat Nabi Ibrahim A.S yang dikasihinya. Apabila Baginda SAW dan umat Islam berhijrah ke Madinah, Allah memerintahkan supaya solat dilakukan secara mengadap ke Baitul Maqdis. Tujuannya adalah supaya dengan ibadah yang dilakukan seumpama ini, ia akan membolehkan Nabi SAW melembutkan hati orang-orang Yahudi di Madinah untuk menerima Islam. Ia juga sebagai isyarat bahawa Syariat yang dibawa oleh Baginda SAW adalah sama dengan risalah yang diseru oleh Nabi-nabi Bani Israel seperti Musa dan Isa Alayhima as-Salaam.

Akan tetapi sifat mulia yang ditunjukkan oleh Baginda dan umat Islam itu, tidak langsung menggerakkan hati orang-orang Yahudi untuk menerima Islam, bahkan mereka mengejek-ngejek Baginda SAW. Kata mereka “Muhammad itu menentang agama kita, tetapi dalam masa yang sama mengadap Qiblat kita pula. Kalaulah agama kita tidak ada, nescaya Muhammad itu tidak tahu ke arah Qiblat mana dia mahu bersolat!”

Solat yang dikerjakan oleh Nabi SAW dan umat Islam dengan berqiblatkan Baitul Maqdis bukanlah suatu perkara yang mudah. Baginda SAW dan sahabat perlu meninggalkan Kaabah yang lebih dikasihi dan dicintai, di samping mengadap Baitul Maqdis yang menjadi qiblat musuh utama mereka iaitu orang-orang Yahudi.

Tambahan pula mulut-mulut manusia bodoh itu sentiasa mempersendakan Rasulullah SAW dan umat Islam yang ‘miskin qiblat’ pada pengamatan dangkal mereka. Sesungguhnya semua ini adalah ujian Allah dan ia memang berat kecuali bagi mereka yang beroleh petunjuk dari Allah SWT.

Allah merakamkan perkara ini dalam kitabNya melalui surah al-Baqarah ayat 142,

“Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus "

PERTUKARAN QIBLAT SEBUAH RAHMAT

Allah merakamkan kisah ini dalam ayat-ayatNya,

“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan. {144} Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. {145} Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu sentiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui. {146}Kebenaran itu adalah datangnya dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali kamu tergolong dari kalangan orang yang ragu. {147}”
(al-Baqarah : 144-147)

PENGAJARAN

Banyak sekali pengajaran yang boleh kita perolehi daripada peristiwa ini. Kita melihat bagaimana Nabi SAW dan para sahabat menunjukkan sikap bagaimana perintah Allah SWT itu dilaksanakan serta-merta tanpa bertangguh. Tidak pula mereka menghabiskan dahulu solat yang sedang dilakukan dan menunggu solat berikut untuk mengadap ke arah qiblat yang baru. Berbeza sekali dengan sikap kebanyakan umat Islam hari ini. Kita suka menangguhkan kewajipan. Kita tangguhkan qadha’ puasa, kita lewatkan pembayaran hutang, dan tidak mengerjakan solat di awal waktu dan pelbagai lagi kelewatan yang berlaku tanpa uzur dan tanpa sebab selain kerana lemah dan cacatnya iman itu sendiri.

Peristiwa ini juga menunjukkan kepada penerimaan pakai Hadith Aahaad, bilamana pemberitaan tentang pertukaran qiblat hanya disampaikan oleh seorang sahabat.

Begitu juga, sikap dan akhlaq Yahudi yang mesti kita berikan perhatian. Banyak sekali usaha yang telah dibuat untuk mencenderungkan hati mereka kepada Islam sehinggakan Nabi SAW berkorban jiwa dan perasaan, bersolat mengadap qiblat mereka bersama ejekan dan sendaan yang tidak lekang dari telinga. Apakah ada faedahnya? Apa yang pasti, pendirian Yahudi itu adalah akhirnya sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT:

“Yahudi itu tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, Nasrani itu juga tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, sehinggalah kamu mengikut cara hidup dan kehendak mereka.”
[al-Baqarah : 120]
   


2.       PERANG BANI MUSTALIQ

Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun Keenam Hijrah. Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan.

Apa yang menariknya para sahabat telah memerdekakan tawanan perang yang memeluk Islam malah Rasulullah s.a.w sendiri telah menjadikan anak kepada ketua Bani Mustaliq yang telah memeluk Islam iaitu Juwairiyyah sebagai isteri. Tindakan ini merupakan antara strategi dakwah yang telah membuka hati ramai di kalangan Bani Mustaliq untuk memeluk Islam setelah melihat bagaimana Islam bukan agama yang menganjurkan keganasan sebaliknya begitu banyak menawar erti keamanan dan perdamaian.

Sepanjang peristiwa ini juga mencatat bagaimana sikap golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai yang turut serta dalam tentera Islam bukan untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam sebaliknya lebih banyak membuat kacau dan fitnah serta golongan ini hanya berminat untuk mendapatkan hasil rampasan perang melalui peperangan yang disertai itu. Allah mendedahkan sikap golongan munafik ini melalui ayat 47 surah at-Taubah :

"Jika mereka keluar bersama-sama kamu tidaklah mereka menambahkan kepada kamu melainkan kerosakan dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) di kalangan kamu sedangkan di antara kamu ada orang-orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim." 

Ketika berlangsungnya peristiwa ini juga ada 2 orang sahabat dari golongan Muhajirin dan Ansor bertengkar sehingga Rasulullah s.a.w menegur mereka yang menyebabkan mereka menghentikan perbalahan lalu bertaubat kepada Allah. Abdullah bin Ubai begitu marah mendengar berita tentang 2 sahabat itu yang kembali berbaik semula lalu berkata : “ Adakah munasabah dia melakukan demikian, apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina. ( Nabi dan Muhajirin)”.


Mendengar kata-kata biadab yang keluar daripada mulut Abdullah bin Ubai itu lalu Sayyidina Umar meminta izin daripada nabi untuk membunuhnya tetapi nabi menegahnya bagi mengelakkan fitnah yang mengatakan nabi membunuh sahabatnya sendiri. Hasil daripada kesabaran ini juga menyebabkan lebih ramai orang membenci Abdullah bin Ubai sehingga dia semakin terpinggir.  Allah turut merakamkan  peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun :
“ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui." 

Api fitnah tidak terhenti setakat peristiwa yang melibatkan golongan munafik itu  malah suatu lagi peristiwa fitnah yang paling besar yang berlaku semasa perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq ialah khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah, Ummul Mukminin yang tertinggal daripada rombongan yang pulang ke Madinah kerana ingin mengambil sesuatu barang yang tercicir. Setelah menyedari dia ditinggalkan oleh ahli rombongan lalu Siti Aisyah kembali semula ke kawasan perkhemahan asal dengan harapan ada di kalangan ahli rombongan yang akan datang mencarinya. Tiba-tiba datanglah Safwan bin al-Mu’tal yang sudah menjadi kebiasaannya suka tidur sehingga sentiasa ditinggal oleh ahli rombongan. Dia yang melihat ada seorang perempuan yang masih tinggal di kawasan perkhemahan itu lalu mendekatinya dan dia begitu terkejut apabila mendapati bahawa perempuan itu ialah Siti Aisyah. Tanpa banyak soal dia meminta Siti Aisyah untuk menaiki untanya lalu dia menariknya sehinggalah mereka bertemu semula dengan ahli rombongan yang lain di Nahru Zahirah.

Tentera Islam yang melihat ketibaan mereka merasa terkejut dan Abdullah bin Ubai menggunakan peluang itu untuk menabur fitnah. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Penurunan wahyu ini telah menenangkan hati Rasulullah s.a.w, Siti Aisyah sendiri dan para sahabat terutama Sayyidina Abu Bakar.

Firman Allah dalam ayat  11 surah an-Nur :

" Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang  dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya.  Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar." 

Peristiwa ini telah banyak meninggalkan kesan kepada tentera Islam terutama dalam berhadapan dengan fitnah dan berita bohong serta sikap golongan munafiq. Kita pada hari ini turut diserang dengan pelbagai berita bohong dan fitnah dalam menghancurkan kesatuan umat Islam dan juga menanam rasa benci orang bukan Islam terhadap Islam melalui propaganda yang dimainkan oleh musuh Islam terutama yahudi yang menguasai seluruh media massa. Musuh cuba menunjukkan kepada dunia bahawa Islam dan umatnya adalah pengganas di mana setiap keganasan yang berlaku dinisbahkan kepada Islam disamping menggambarkan umat Islam sebagai lambang kemunduran dan kelemahan.

Oleh itu setiap umat Islam wajib bangkit dengan kemampuan yang ada bagi menjawab segala tohmahan liar itu melalui tindakan bukan setakat cakap kosong sahaja ke arah mengembalikan semula kehebatan dan kemuliaan umat Islam dengan kita sama-sama kembali mengamalkan semula Islam dalam setiap sistem kehidupan. Umat Islam juga mesti kembali bersatu di bawah panji Islam dengan menghentikan tabiat suka menaburkan fitnah dan menyebar berita bohong terutama dalam menzalimi saudara. Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur : 

"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.  Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui "

3.       PEPERANGAN ZAT AL-RIQA'

Selepas peperangan keturunan Nadhir, berlaku satu lagi peperangan iaitu peperangan yang diberi nama "Peperangan Zat al-Riqa". Pendapat mengenai bulan dan tahun terjadinya perang ini adalah berbeza. Namun ada pendapat yang mengatakan ianya berlaku pada bulan Syaaban tahun ke 7H selepas peperangan Khaibar .

Ini berlaku kerana suku Ghafatan bersiap sekali lagi untuk menyerang Madinah. Ghafatan adalah suku terbesar di Najd. Rasulullah s.a.w sendiri bersiap memimpin tentera Islam menuju ke suku Ghafatan sebelum mereka bergerak ke Madinah. Apabila tentera Islam tiba di Ghafatan, rupa-rupanya Ghafatan sudah bersedia dengan bilangan tentera yang berlipat kali ganda daripa jumlah tentera Islam. Apabila kedua-dua pasukan tentera bertemu, masing-masing menunggu siapa yang mahu memulakan peperangan. Walaupun bilangan mereka besar, namun mereka takut dengan keberanian dan kehandalan tentera Islam. Oleh itu, mereka tidak berani memulakannya. Allah mencampakkan rasa gerun ke dalam hati mereka walaupun pada mulanya mereka yang mahu menyerang Madinah. Berhari-hari lamanya kedua-dua tentera berhadapan, namun Ghafatan tidak berani memulakan peperangan.
 
Akhirnya, mereka terfikir menyerang orang Islam semasa orang Islam sedang sembahyang. Mereka bersiap menyerang pada waktu sembahyang yang terdekat selepas itu. Pada masa itu, Allah turunkan cara sembahyang khauf iaitu sembahyang semasa perang. Tentera Islam terus mempraktikkan hukum ini. Sebahagiannya sembahyang bersama Rasulullah dan sebahagiannya mengawal. Apabila kumpulan pertama selesai sembahyang, mereka pula mengawal dan kumpulan yang mengawal tadi pula sembahyang.
 
Melihat keadaan itu, terbatal niat tentera Ghafatan untuk menyerang tentera Islam semasa mereka sembahyang. Mereka melihat tentera Islam sembahyang dengan senjata dan dikawal. Melihat apa yang berlaku, tentera Ghafatan bertambah gerun dan membuat keputusan untuk berundur meninggalkan tempat kediaman ke bukit. Rasulullah dan tentera Islam terus menawan kediaman mereka dan pulang ke Madinah selepas beberapa hari disitu.
 
Sepanjang barada di situ, mereka berdakwah secara lisanul hal iaitu konsep berdakwa melalui perbuatan. Mereka dapat melihat cara hidup Islam yang indah dan tersusun. Disamping itu, dalam tempoh ini juga Rasulullah terus mendidik para sahabat kerana bagi baginda, yang lebih penting lagi adalah membina insan, iman dan takwa dalam peribadi setiap sahabat dan umat Islam.

Semasa tentera Islam bergerak pulang ke Madinah, ada seorang tentera Ghafatan keluar mengejar tentera Islam. Dia bersumpah tidak akan pulang selagi tidak berjaya membunuh atau menumpahkan darah salah seorang tentera Islam.

Tentera Islam berjalan terus sehingga berhenti berkhemah di suatu tempat. Pada malam itu giliran Ammar bin Yasir dan Abbad bin Bisyr berjaga malam dan mengawal tentera Islam. Sampai suatu masa, Ammar tertidur dan Abbad sedang sembahyang malam. Abbad berada di kawasan paling tinggi di situ supaya dia dapat melihat sebarang pergerakan ke arah tentera Islam.

Dalam senyap-senyap dan kegelapan malam itu, lelaki Ghafatan tadi telah sampai ke jarak memanah dengan Abbad. Dia memanah Abbad yang sedang khusyuk sembahyang. Anak panah itu terkena bahu Abbad. Abbad yang sedang khusyuk sembahyang tidak mahu memotong sembahyangnya. Dia mencabut anak panah dan terus sembahyang. Lelaki Ghafatan tadi berasa pelik. Abbad tidak bergerak-gerak. Tidak pernah panahanannya pada jarak itu meleset. Dia pun memanah sekali lagi. Abbad mencabut panah dan terus sembahyang, tidak bergerak-gerak lagi. Lelaki Ghafatan itu hairan dan memanah buat kali yang ketiga. Pada masa itu, Abbad bimbang dia dibunuh dan berlaku perkara yang tidak baik kepada tentera Islam. Dia turun sujud dan mengejutkan Ammar.

Ammar terkejut melihat kecederaan Abbad, "Kenapa tidak dikejutnya dari awal?".

Abbad berkata, "Aku sedang membaca surah yang aku tidak mahu berhenti dari surah ini. Kalaulah bukan kerana takutkan keselamatan Rasulullah dan tentera Islam, nescaya aku tidak akan berhenti dari sembahyangku".

Si Ghafatan tadi, apabila tiga kali dia memanah Abbad dan melihat panahannya tidak memberikan kesan sedangkan dia pakar memanah dan tidak pernah panahannya meleset, Allah mencampakkan rasa gerun kedalam hatinya. Terus dia berundur senyap-senyap pulang ketempat sukunya.

Inilah dia "Peperangan Zat al-Riqa' ". Dinamakan Zat al-Riqa' kerana tentera Islam yang berjalan kaki terlalu jauh sehingga koyak kasut mereka dan sampai luka-luka kaki mereka. Akhirnya mereka terpaksa membalut kaki dengan kain sebagai ganti kasut. Dari situlah dinamakan "Peperangan Zat al-Riqa' ".

Daripada Abi Musa Al-Asya'ari R.A katanya : "Kami telah keluar bersama-sama Rasulullah S.A.W di satu peperangan kami berenam orang bergilir-gilir menunggang seekor unta". Tambanya lagi "Kami berjalan hingga pecah tapak kaki kami. Tapakku sendiri pun pecah, kukuku luruh, kami membalut kaki kami dengan kain buruk. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Sesungguhnya, hari-hari Allah itu sememangnya perlu diperingatkan sesama kita Umat Islam kerana kita ini alpa. Tambahan pula dengan fitnah penggunakan kalendar Gregorian Miladi atau Masehi itu menjadikan umat Islam semakin jauh dan tercuai daripada mengingati ‘hari-hari Allah’.
  -Abu Saif-
Wallahu'alam.

Rujukan:
 





Web DarulUlum

0 Responses to PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN

Related Posts with Thumbnails

Jom IMAN !!!

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Famous Posts !!

Arkib

Anda Rasa ....


ShoutMix chat widget

link web

Sahabat Munzir