Content feed Comments Feed

Solat Orang Sakit

Saturday, May 7, 2011


Islam meletakkan solat di tempat yang tinggi, yakni ibadah yang paling tinggi selepas mengucap dua kalimah syahadah. Oleh yang demikian, setiap muslim diwajibkan untuk menunaikan solat setiap waktu tidak kira di mana atau dalam apa jua keadaan sekalipun.



           Timbul persolan kepada kita sebagai seorang doktor, sekiranya seorang pesakit tidak mahu menunaikan solat atas alasan kesakitan yang sedang dialaminya, maka apa yang harus kita lakukan sebagai seorang doktor muslim? Adakah hanya membiarkan sahaja pesakit untuk terus tidak solat? Sudah tentu tidak, kerana solat itu hukumnya WAJIB. 

            Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang tidak membebankan umatnya, kerana terdapat rukhsah (kemudahan) yang dapat memudahkan pesakit untuk menunaikan ibadah solat. Rukhsah-rukhsah tersebut ialah :
 

1.     1. SOLAT JAMA’ BAGI PESAKIT.
Dibenarkan untuk melakukan jama’ taqdim atau jama’ ta’khir ketika sakit. Ini adalah pendapat Ata’, Imam Malik, Ahmad bin Hambal. Sebahagian ulama Syafi’e telah menyokong pendapat ini seperti Qodi Husain, al-Mutawalli Abu Sulaiman al-Khottabi dan al-Ruyani. Qodi Husain berkata :

Maksudnya : “Boleh dibuat solat jama’ taqdim atau ta’khir dengan sebab ketakutan dan kesakitan seperti jama’ orang yang bermusafir.”

Imam Nawawi di dalam kitabnya (Majmuk) :
“Pendapat ini sangat kuat.”

2.     2. TIDAK PERLU BERDIRI KETIKA SOLAT FARDHU.
Berdiri adalah rukun dalam solat fardhu. Adapun solat sunat tidak diwajibkan untuk berdiri dan dibolehkan untuk duduk atau berbaring.
Ulama telah bersepakat bahawa kewajipan berdiri akan gugur apabila seseorang itu tidak mampu untuk berdiri. Perkara ini telah disepakati oleh sekalian ulama. Syeikh Sa’di Abi Jaib telah berkata di dalam kitabnya (Mausu’atul Ijmak) :

“Ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri disebabkan sakit ataupun ketakutan, maka hendaklah dia solat duduk dan tidak perlu untuk dia mengulangi solatnya.”

3.      3. SAKIT YANG MENGHILANGKAN SEDAR.
Sesiapa yang sakit sehingga tidak sedar seperti koma atau pengsan maka gugurlahkewajipan solatnya. Ini sekiranya dia tidak sedar sehingga menghabisi semua waktu solat dari awal waktu hingga habis waktu. Dalilnya adalah hadis berikut :

Maksudnya : “Tidak ditulis amal perbuatan dari 3 golongan : 1. Budak kecil sehinggalah dia baligh. 2. Orang yang tidur sehinggalah dia jaga. 3. Orang yang gila sehinggalah dia waras.”
(Riwayat Abu Daud)

Bentuk pengambilan hadis : Hadis ini menyebut tentang orang gila. Maka dikiaskan dengan penyakit yang menyebabkan hilang kesedaran dengan ada keuzuran. Adapun tidak sedar dengan tiada keuzuran seperti seorang yang minum arak sehinggalah dia mabuk, maka dia wajib mengqada (ganti) solatnya.

4.     4. TIDAK MAMPU UNTUK MENGHADAP KIBLAT.
Menghadap kiblat adalah syarat sah solat. Adapun orang yang tidak mampu untuk menghadap kiblat, maka dia hendaklah solat menghadap mana sahaja dan wajib dia mengulangi solatnya. Syeikh Syarbini seorang ulama Mazhab Syafi’e telah berkata :

“Adapun orang yang tidak mampu untuk menghadap kiblat seperti sakit dan tidak ada orang yang boleh membantunya untuk menghadap kiblat atau orang yang diikat pada tiang maka hendaklah dia solat dalam keadaan tersebut serta wajib dia mengulangi solatnya.”

Sebahagian ulama berpendapat tidak perlu mengulangi solat yang tidak menghadap kiblat kerana keuzuran seperti sakit atau ketakutan.

5.     5. BOLEH MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT.
Solat Jumaat difardhukan kepada lelaki yang bermastautin, baligh, merdeka dan sihat. Tidak diwajibkan kepada yang sakit. Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

“Solat Jumaat secara berjemaah adalah kewajipan keada setiap muslim melainkan 4 golongan : 1. Hamba yang dimiliki. 2. Perempuan. 3. Kanak-kanak yangtidak baligh. 4. Pesakit.”
(Riwayat Imam Abu Daud).

            Perkara-perkara ini adalah untuk memudahkan orang yang sakit untuk memunaikan kewajipan solat mereka dalam apa jua keadaan sekalipun. Maka menjadi satu kewajipan kepada pengamal perubatan untuk mengetahui perkara ini dan mengajar para pesakit yang kurang pengetahuan agama.



Sumber : kertas kerja Seminar Ibadah Pesakit PCI.

0 Responses to Solat Orang Sakit

Related Posts with Thumbnails

Jom IMAN !!!

Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Famous Posts !!

Arkib

Anda Rasa ....


ShoutMix chat widget

link web

Sahabat Munzir