Tahukah anda apa bahagia itu? Adakah ia terletak pada harta yang banyak atau jawatan yang tinggi? Untuk menjawab soalan ini, eloklah kita cuba perhatikan keadaan wanita ini.
Pasangan suami isteri sedang bertengkar amat sengit, si suami berkata, “Aku akan buat engkau susah!”. Si isteri menjawab dengan tenang, “Anda tidak akan mampu”.Suaminya berkata,”Mengapa tidak?”. Si isteri menjawab,”Jika kebahagiaan terletak pada harta, maka anda boleh menahannya dariku. Jika kebahagiaan terletak pada perhiasan, maka anda boleh menghalangnya supaya tidak sampai kepadaku. Kebahagiaan itu bukan pada apa yang anda miliki atau dimiliki manusialain. Tetapi kebahagiaan itu aku temukan pada keimananku di dalam hatiku. Dan hatiku tidak ada yang boleh menguasainya kecuali Tuhanku.”
Benar! Itulah kebahagiaan yang sebenar, yakin kebahagiaan iman. Tidak ada yang merasakannya kecuali orang yang hatinya, jiwanya dan fikirannya mengalirkan cinta kepada Allah. Yang mmpunyai kebahagiaan sejati adalah Dia Yang Maha Esa, maka mohonlah kebahagiaan dariNya dengan ketaatan.
Tidak ada cara untuk memperolehi kebahagiaan melainkan dengan mengikut ajaran agama yang benar, iaitu agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sesiapa mengetahui jalan ini, maka tidak akan menjadi masalah baginya sama ada tidur dalam pondok, berbantalkan jerami atau hanya makan sepotong roti tetapi ia menikmati kehidupannya dan bahagia di dunia.
Orang-orang yang melencong dari jalan ini maka hari-harinya akan dihiasi dengan kesedihan, hartanya menjadi beban, amal perbuatannya akan merugikannya dan akhirnya dia tercampak dalam keadaan terhina.
Kebahagiaan tidak ditemui di mana-mana kecuali di dalam diri sendiri. Justeru itu, sesiapa sahaja yang hendak bahagia maka hendaklah ia membawa dirinya ke jalan keutamaan dan kemuliaan. Maka untuk tujuan itu seseorang perlu menjadi berani, mencintai pekerjaan dan mencintai sesama manusia. Ia perlu menjalinkan kerjasama dan hubungan baik dengan orang lain, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak membiarkan hati nuraninya lemah dan mati.
Ingatlah bahawa kebahagiaan itu bukanlah kata-kata kosong, ia adalah realiti dan ramai orang yang merasakannya. Kita boleh merasakannya melalui pengalaman kita. Jika kita menghayati kehidupan dunia, maka kita mampu menemukan banyak hal dalam diri kita. Dengan ilmu pengetahuan, kemahuan dan kesabaran, kita boleh selamat dari pelbagai penyakit yang menyerang fizikal dan kesihatan jiwa kita. Malahan kita menikmati hidup yang dianugerahkan oleh Allah tanpa sebarang pengingkaran, kederhakaan dan gangguan.
Wallahu a'lam.





0 Responses to Dimanakah Kebahagiaanku...