MUKADDIMAH
Ke mana menghilangnya Azmil Mustapha yang popular dekad 80-an dengan filem Ali Setan? Azmil, 55 tahun, adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan penghijrahan daripada kehidupan yang penuh 'glamor' kepada kehidupan yang penuh pengabdian kepada Allah. Penampilan terakhirnya dalam dunia lakonan adalah sebagai Pangeran Demak dalam filem 'Puteri Gunung Ledang'; watak yang dilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit.
Secara diam-diam rupanya Azmil meneruskan musafirnya ke bumi Syria, sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama. Wartawan Global Media Channel (GMC) menemu ramah Azmil di Kota Baharu, semasa beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya. Inilah petikan wawancara tersebut.
Kenapa saudara memilih untuk ke Syria?
SEBELUM berangkat saya terlebih dahulu menunaikan solat hajat, mohon petunjuk Allah memberikan tempat belajar yang baik buat saya. Hati saya kemudiannya bulat untuk belajar di Syria yang saya anggap jawapan yang Allah berikan. Dengan duit yang saya kumpul hasil menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia, saya terbang ke Syria dengan anak-anak.
Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus mendaftar di kelas pengajian agama, adalah agak sukar kerana saya tidak memahami bahasa Arab. Jadi saya belajar bahasa Arab terlebih dahulu. Pada masa yang sama saya belajar ilmu al-Quran, seperti tajwid dan tasmi' dengan beberapa orang syeikh dan juga pelajar pelajar Malaysia yang ada di Syria.
Seiak bila berangkat ke sana?
SUDAH setahun saya bersama empat orang anak saya di sana (tiga perempuan dan seorang lelaki). Anak saya yang sulung kemudiannya balik ke Malaysia untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana.
Anak saya Noramalia Batrisya ,15 tahun, dan Mohd. Bazli Shafri, 13 tahun, belajar di Jami' Abu Nur, belajar di sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria. Manakala yang kecil baru berumur tujuh tahun dan belajar darjah satu. Enam bulan pertama mereka ditempatkan di kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat pugs hati dengan perkembangan mereka.
Puas hati bagaimana?
PUAS HATI dengan perubahan sikap mereka. Semasa tinggal di Shah Alam, saya lihat banyak pengaruh yang tidak sihat yang mengganggu tumpuan mereka untuk belajar. Tetapi di sana mereka mengaji al-Quran setiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga.
Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita susah hendak lihat pergaulan secara bebas berlaku. Duduk satu meja pun tidak berlaku.
Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria, sekiranya hanya seorang wanita yang menjadi penumpang dalam bas, seorang penumpang lelaki tidak akan naik ke atas bas dan mereka sanggup menunggu bas yang lain. Hal ini kerana bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing masing sangat prihatin untuk menjaga pergaulan.
Perubahan anak perempuan saya Noramaliya, misalnya, semasa bersekolah di Malaysia, biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah. Selalu ponteng sekolah dan tengok wayang di KLCC. Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu sudah menjadi tabiat sebahagian pelajar sekolah menengah di Malaysia. Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara seperti dari England, Afrika Selatan, Kazakhstan, China dan lain lain. Dia yang muncul pelajar terbaik.
Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria?
TIDAK ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tidak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak pernah timbul sebarang masalah besar.
Saya yakin rezeki itu datang daripada Allah. Pengalaman saya, sentiasa ada bantuan yang datang kerana saya dan anak-anak dikategorikan orang yang sedang menuntut ilmu.
Malah ia sampai ke tahap ada kalanya terpaksa membuang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak.
Dan di sana kita yang sedang belajar dengan Syeikh, bukan kita yang perlu membayar Syeikh, tapi mereka pula yang memberi wang pada kita. Paling tidak mereka akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat biasa di sana. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.
Saya juga terkejut kerana kadang kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin semasa bulan Ramadhan.
Maksudnya banyak kelebihan yang saudara rasa sepanjang menuntut di Syria dan keadaannya sangat berbeza dengan Malaysia?
BUMI Syria ini ada kelebihan. Saya sejak kecil belajar di sekolah yang tidak berasaskan pendidikan Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah warisan penjajah iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pelajaran ke Indiana University diAmerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah khatam al-Quran.
(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya mempunyai tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Dato' Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gredA ketika itu.)
Mula-mula hijrah dulu hendak membaca surah al- Fatihah pun tidak mampu. Saya terpaksa membaca mengikut tulisan rumi. Hendak bersembahyang, semua ayat al-Quran ditulis dalam tulisan rumi. Tidak pernah hafal ayat-ayat penting untuk kegunaan sembahyang.
Di Syria anak-anak saya belajar al-Quran di rumah seorang syeikhah (ustazah). Selepas sebulan, syeikhah tersebut datang melawat anak-anak saya di rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga saya. Sewaktu di rumah, dia meminta saya mengajar anak-anak saya tentang al-Quran. Dia menyuruh saya membaca satu surah. Beliau dapati bacaan saya banyak yang tidak betul dan kemudian meminta anak muridnya yang lain menolong saya dan keluarga.
Kini Alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, saya sudah boleh menghafal beberapa surah dengan mudah. Hal ini memang pelik. Saya rasa ini adalah berkat tinggal di bumf Syam (Syria), bumi para anbia.
Dahulu negara ini agak tertutup kerana mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Ada hikmahnya apabila negara ini disisihkan kerana negara ini terselamat dari pengaruh barat. Berbeza dengan Malaysia, apabila dibuat dasar langit terbuka, semua pengaruh dapat masuk. Maka pengaruh buruk sudah perlu disekat kerana boleh merosakkan generasi muda kita.
Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria. Orang lain mungkin tidak berpeluang berbuat seperti saudara.?
SAYA rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tidak ada kekurangannya. Malahan Allah mungkin akan mencurahkan kemudahan kepadanya.
Pada saya, Syria satu negara yang baru membuka pintu. Kalau kita di Malaysia, ramai generasi yang mengagungkan England dan Amerika. Di Syria, guru-guru masih mempunyai pegangan yang kuat pada Islam. Kita di Malaysia, terlalu bertoleransi dengan budaya barat. Kita seolah-olah bangga memperjuangkan institusi atau sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam.
Komen saudara tentang sikap sebahagian besar remaja kita yang cenderung kepada budaya berhibur?
KALAU kita tengok babak dalam filem Melayu, babak berhibur dan berdansa ini sudah ada sejak zaman P Ramlee. Sejak sekolah lagi, anak-anak dibiasakan dengan budaya berhibur. Perkara ini sepatutnya membimbangkan kita.
Mungkin saudara ada pandangan untuk membetulkan keadaan?
KITH perlu memahami persoalan, untuk apa kita dihidupkan dan ke mana kita selepas dihidupkan? Tegasnya kita perlu menanamkan keyakinan pada remaja kita bahawa Allah Yang Maha Pencipta lebih memahami hakikat penciptaan hambanya-Nya. Allah SWT mengingatkan kita bahawa kita dihidupkan adalah untuk beribadah kepada-Nya dan Allah SWT melihat setiap perkara yang kita lalukan.
Dalam melaksanakan ibadah puasa, kita sanggup menahan makan dan minum dan segala perkara yang membatalkan puasa kerana kita yakin Allah melihat segala perbuatan yang kita lakukan. Kalau anak-anak kita sedar bahawa Allah SWT dekat dan lebih dekat daripada urat nadi yang ada di lehernya, kita akan mudah memimpin mereka..
Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang untuk menjadikannya lebih baik?
BOLEH kalau industri hiburan kita industri yang mengambil kira soal iman dan keyakinan. Tapi malangnya industri kita lebih suka meniru industri hiburan Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain lainnya.
Harapan anda pada rakan-rakan artis atau sahabat-sahabat lama dalam industri hiburan?
HARAPAN saya pendek sahaja, semoga kita semua sedar bahawa Allah melihat setiap perkara yang kita lakukan.
RUJUKAN : http://grenbara.bravejournal.com/entry/27455





Subhanallah. Allahuakbar!!
Allahumma ihdina ila siratal mustaqim~
nak seribu daya..
bila la diri ni boleh jadi macam tu..
subhanAllah!! semoga hidayah yg kita ada ini akan kekal sehingga ke akhir hayat kita..
amitna 'ala dinil Islam..